ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

salam pertemuan, salam perjuangan..
jadikan ruangan maya ini medium cetusan budaya, lapangan letusan maklumat, wahana penyebaran ilmu, pelestari generasi berilmu dan wadah penjana minda...

layarkan sebarang perkongsian informasi dan maklumat kepada archimyxtream@yahoo.com..
mudah-mudahan lapangan penulisan bukan sekadar picisan, namun sebagai rantaian-rantaian menuju Cinta Tuhan

menunaikan haji, kerana adat atau ibadat??



kalam dimulakan dengan madah firman Allah:

"Apakah mereka yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan ibadah haji dan menguruskan Masjid el-Haram, kamu samakan dengan mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sudut Allah. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum Muslim yang zalim. Mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalahlebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan."

(Surah al-Tawbah:19-20)

(klik di sini)

tazkirah 2

daripada Ummu al-Fadhl menceritakan ada seorang wanita dari suku khath'am memberitahu Rasulullah saw bahawa ayahnya sangat tua dan uzur, tetapi masih belum mengerjakan haji kerana tidak mampu menunggangi untanya lagi. Adakah wajib ke atasnya mengerjakan haji?
Sabda baginda: Engkau boleh tolong mengerjakan haji untuknya.
(riwayat Muslim)

Huraian:
dalam hadis ini, Rasulullah saw pernah menegaskan bahawa amalan seseorang, boleh dikerjakan oleh anak dan umat Islam yang lain setelah selesai mengerjakaqn ibadatnya sendiri, terutamanya untuk mereka yang tidak berkemampuan. Kebenaran ini adalah meliputi semua ibadat yang lain sesuai dengan rahmat Allah Yang meliputi sesuatu

Kesimpulannya:
Amalan orang lain yang tidak dapat dikerjakan disebabkan keuzuran bolehlah disempurnakan oleh anak dan waris keluarga tersebut. Secara tidak langsung, si anak mampu menunaikan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapanya

TENTERA ALLAH


1hb november2007

10.00pagi

Batang Berjuntai, selangor

Udara pagi bertiup nyaman, mengalunkan rentak zikirnya. Kicauan burung dan unggas saling bersahutan bagai bertasbih kepada Yang Maha Mencipta. Langit yang cerah menutupi sinaran mentari tersipu malu. Semuanya tunduk patuh pada perintah Allah tanpa bantahan. Inilah definisi Islam yang sebenar. Alam juga Islam sebagaimana yang dinukilkan Abul a'la almaududi dalam kitabnya Asas-asas Islam. Sesekali tanganku menyeka mutiara peluh di dahi. Aku bingkas duduk melepaskan lelah seketika. Ku lihat susuk tubuh abah yang masih bertenaga meski usia menjangkau 60 an. Mesin rumput ligat memainkan matanya, menebas pantas dedaunan dan lalang yang hidup meliar. Tugasku pula mencakar rumput-rumput yang telah ditebas. Melihatkan permukaan tanah yang lapang setelah dibersihkan, hatiku bermonolog sendiri. 'Alangkah indahnya kalau hati ni mudah dibersihkan semudah aku mencakar rumput ni,' Seraya itu, bibirku mengukir senyuman.

"Usu..., apa la. Cakar rumput masih boleh tersenyum. Mari sini tolong abah". Suara abah kedengaran memanggilku. Mengelamunkah aku? Seingatku, hanya bermonolog. Apapun, yang lebih penting sudah tentulah menyahut panggilan abah tika ini.

Aku diminta membersihkan kawasan berlukar. Sesekali, aku membetulkan sarung tangan yang sudah kusam warnanya. Namun, jasanya pada manusia tidak pernah terhenti. Biar benang sudah tetas dan koyak tetapi atas prinsip abahku yang suka berjimat, sarung tangan ini masih lagi berjasa.

"Perlu dibakar rumput ni, abah" cadangku cuma. Namun, abah meminta aku sudahkan pembersihan di kawasan belukar.

"Hati-hati" tambah abah, pendek sahaja. Aku menggaru kepala. Jawapan abah sebentar tadi seolah-olah mentamsilkan bahawa aku bakal berdepan dengan bahaya. Bahaya apakah yang menantiku di sebalik belukar? Prak! Derap langkahku terhenti. Mataku terpana pada sekumpulan tebuan yang menghurung belukar. Jumlahnya, masya' Allah tidak terhitung banyaknya. Kehadiranku seolah-olah tidak disedari. Namun atas langkah berjaga-jaga, aku memperlahankan langkahan.

Aku bertekad untuk tidak mengganggu tebuan tersebut. Sekiranya aku berpegang pada kata pepatah, 'sarang tebuan jangan dijolok', sudah tentu aku tidak menghampiri makhluk Allah ini. Tetapi keberanian datang menerpa tatkala hati kecilku berbicara, agar segalanya diserahkan pada Allah. Demi kekuasaan-Mu Ya Allah, aku mohon perlindungan dari ancaman makhluk-Mu ini. Serta merta diriku dipupuk keinsafan. Melihat 'tentera Allah' di hadapan mata, kotak minda berputar menyorot lipatan sejarah. Keangkuhan firauan pada zaman nabi musa ditumpaskan dengan tentera Allah yang tidak dikurniakan akal lansung.

Lantaran itu Allah berfirman, "Kami pun menghantarkan kepada mereka, taufan, belalang dan kutu, katak dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata. Maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka" Surah al-A'raf:133

Sekiranya atas kehendak-Nya, tebuan di hadapanku ini menjadi tentera Allah, nescaya kuat bagaimana sekalipun manusia dengan senjata berteknologi tinggi akan ditewaskan dan dimusnahkan sekelip mata. Bahkan, ilham yang hadir dalam mindaku ini juga hasil percaturan dari-Nya. Apatah bisaku anyam ketakutan dalam diri terhadap makhluk Allah? Sudah tentu ALlah jua tempat berserah. Aku tersenyum sendirian seraya menyudahkan kerjaku tanpa sedikit pun peduli akan kehadiran 'tentera Allah' ini. Syukur Ya Allah. Kau campakkan keberanian dan kekuatan dalam atma ini, lantaran diri terasa begitu kerdil apatah lagi terhadap makhluk-Mu jua.


televisyen dan ajaran sesat?



Rentetan dari peristiwa kumpulan ajaran sesat yang heboh diperkatakan penulis rasa terpanggil membawa topik ini untuk diperbicangkan. Televisyen dan ajaran sesat, mana lebih mudarat. Sekilas pandang, secara klisenya otak kita mencernakan jawapan yang memilih ajaran sesat sebagai satu medium keruntuhan agama dan aqidah yang sememangnya banyak mudarat. Namun begitu, sesekali ingin juga melawan arus. Televisyen yang dikatakan medium penyebaran informasi dan maklumat tidak kurang juga bertindak sebagai wahana keruntuhan akhlak dan agama.

(klik di sini)

Agenda mereka, tindakan kita??

Pada ketika ini, filem Evan Almighty telah ditayangkan di seluruh negara dan berjuta-juta penonton telah menyaksikan tayangannya atas tiket inginkan hiburan. Filem yang merupakan lakonan Steve Carell dan Morgan Freeman bukanlah filem pertama yang muncul dan ditayangkan dalam negara ini yang berbentuk menghina sensitiviti agama Islam. Bagaimanapun, ianya menjadi isu yang ingin dibangkitkan penulis atas sebab ketiadaan sensitiviti Lembaga Penapis Filem yang diterajui oleh orang melayu sendiri lantaran teguran dan bantahan oleh ulama' dan juga mufti.

(klik di sini)

perjuangan











perjuangan itu gerun dan mengerikan
hebat dan dahsyat menggerunkan hati
bagi mukmin di sini harga dan nilainya

perjuangan itu bagai sampan di laut
di atas lapang tiada perlindungan
di bawa air melambung dan menggunung
menongkah gelombang yang datang melanda

Kiri kanan depan dan belakang
angin yang menderu tidak tahu bila datang
hujan badai yang datang menyerang
bak singa lapar yang garang

kadang-kadang terdampar di batu karang
penumpang menerima nasib berlainan
ada yang jatuh ada yang tenggelam
yang pandai berenang berpaut ke sampan

ada yang berjaya berenang ke tepian
sekali lagi ia melayar sampan
walau pelayaran mungkin tidak berjaya
Namun harapnya hanya pada Yang Esa

tazkirah

SELAMAT DARI NERAKA

Daripada Abdullah bin Mas'ud katanya Rasulullah pernah bersabda: "Ingatlah, aku akan ceritakan kamu mengenai orang yang diselamatkan dari neraka atau dijauhkan dari neraka iaitu setiap mereka yang ramah mesra lagi sopan santun dan murah hati," (Tarmizi)

HURAIANNYA:
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. ada menyatakan bahawa tiga sifat yang sangat dikasihi Allah perlu dihayati dalam kehidupan untuk menjamin keselamatannya dari api neraka, iaitu:

  • sifat ramah mesra
  • sopan santun
  • murah hati

Bila himpunan tiga sifat yang baik ini ada pada seseorang, maka dia dijamin tidak akan dimasukkan ke neraka.

KESIMPULANNYA:
Hiasilah diri sendiri dengan tiga sifat mulia dan baik ini, bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan di akhirat nanti. Insya'Allah...

renungan sejenak























  • Sejarah merakamkan bagaimana Uqbah bin Nafi memacu kudanya ke gigi air persisiran pantai Lautan Atlantik sambil berseru. "Ya Allah, Tuhan Muhammad. Seandainya bukan kerana lautan ini, sudah tentu aku menakluki dunia demi menegakkan kalimah-Mu"
  • "Menurut ajaran Islam, hidup ini bukanlah satu perjalanan yang penuh kesenangan. Akan tetapi ia adalah satu ujian. Setiap minit kita akan diuji. Allah s.w.t tidak menjadikan kita untuk bergembira dan bersuka ria, tetapi untuk melihat samada kita berjaya atau gagal dalam ujian ini yang keputusannya tidak akan diketahui hinggalah Hari Akhirat," nasihat Maryam Jameelah, dahulunya Margaret Marcus wanita yahudi.
  • setelah dipecat dari jawatan panglima perang oleh Saidina Umar al-Khattab, Khalid al-Walid terus berperang sebagai tentera biasa di bawah pimpinan baru sambil bermadah, "Aku berperang bukan kerana Umar, tetapi kerana Tuhan Umar,"

TAHUKAH ANDA??

Puasa dan kaitannya dengan penyakit kulit merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian. Dr. Muhammad Zawahiry mengatakan "Hubungan antara makanan dengan penyakit kulit adalah amat berkaitan. Tidak makan dan minum dapat mengurangkan air di dalam tubuh dan darah, seterusnya mengurangkan air di dalam kulit, kuman dan basil. Kurangnya air di dalam kulit juga dapat mengurangkan ketegangan penyakit-penyakit yang ada di dalam tubuh."

Berdasarkan kata-kata doktor tersebut, yakinlah bahawa kosongnya alat pencernaan dari makanan pada waktu siang sepanjang bulan ramadhan sangat membantu untuk menghilangkan pembusukan di dalam perut serta membasmi kuman-kuman yang hidup di dalam badan kita.
Dengan meninggalkan makanan berlemak untuk sementara waktu dapat membantu dalam proses penyembuhan pelbagai jenis penyakit. Terutamanya yang berkaitan dengan penyakit kulit seperti bintik-bintik berair, jerawat, kudis, radang gusi dan lain-lain.

Justeru, tidak meragukan lagi bahawa tujuan utama disyariatkan puasa mempunyai manfaaatnya dari aspek sains dan kesihatan. Maka tidak hairanlah apabila banyak pakar penyakit kulit menjadikan amalan berpuasa sebagai terapi utama mengubati penyakit. Justifikasinya di sini, dengan bermatlamatkan keredhaan Allah apa sahaja amalan kita akan sentiasa dihubungkan pada-Nya kerana sakit itu juga datang dari Dia.

Tangisi pemergian ramadhan

Demi cinta-Mu Ya Rabb, aku masih lagi bernafas, menghabis sisa-sisa kudrat di malam-malam terakhir. Malam yang menjadi rebutan sang kekasih, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Saat keriuhan dan kemeriahan insan-insan lain membuat persiapan, aku masih lagi di sini. Menghitung kembali dosa-dosa aku, dibayangi nafsu yang tidak pernah lekang, layakkah aku menyambut kemenangan? Kemenangan aidilfitri yang sepatutnya diraikan sang pencinta-Mu. Kejayaan yang sepatutnya dinikmati kekasih-kekasih-Mu.

Demi cinta-Mu Ya Rahman, aku mohon keampunan. Betapa aku tewas dalam dakapan dosa. Betapa aku lemah mengejar tawaran-Mu yang berharga. Saksikanlah wahai bintang-bintang, langit dan alam semesta yang patuh bertasbih, memalingkan mukaku yang penuh noda. Tidakkah aku belajar? Madrasah ramadhan benar-benar menguji. Berbuka seorang diri, menahan sakit derita.. Benarlah aku telah merasa. Sebahagiaan penderitaan orang yang berduka. Tiada kegembiraan terpancar di wajah mereka. Tarawikh terlepas begitu sahaja, layakkah aku menyambut hari kemenangan? Hari kembali kepada fitrah.

Ya Allah, Ya Rahim, dapatkah aku merasa manisnya ramadhan? atau Ramadhan berlalu pergi tanpa menyapa, meninggalkan aku terpinga-pinga. Hilang separuh tenaga dan nyawa. Apa yang mampu aku lakukan? duduk berteleku merasa sesal. Lantaran tidak terpilih menerima malam al-Qadr, bahkan tidak dapat merasa sayunya ditinggalkan. Ditinggalkan ramadhan yang tidak sudi menjeguk diri. Berkesempatan lagikah aku ketemu, di dalam lain waktu. Tangisilah pemergian ramadhan, raikan lebaran penuh kesyukuran.

Ahlan wasahlan ya Ramadhan


"andainya harta adalah racun,
maka zakatlah penawarnya.
Jika seluruh umur adalah dosa,
maka taqwa dan taubatlah ubatnya.
Jika seluruh bulan adalah noda,
maka ramadhanlah pemutihnya..

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan. Bulan kecintaan penuh kerinduan. Hadirnya membawa seribu rahmat. Apalagi yang ingin diungkapkan untuk mentamsilkan bahawa ramadhan adalah sebaik bulan. Bulan menganyam kecintaan dengan sang Pencipta. Bulan merungkaikan segala persengketa. Yalla beena, yallah..yallah..
bersama kita raikan kehadiran ramadhan almubarak.
kullu a'm wa ant bikheir..


sesuatu di antara waktu


16 Ogos 2007
2.30 pagi
Pusat Asasi UIA

koff, koff koff... hening pagi itu dikejutkan dengan gempita batukku. sakitnya bagaikan tekak ini ditoreh pisau tajam. Sesekali tangan menyeka air mata menahan kesakitan. Ya Allah, betapa besar ujian yang kau pikulkan ke atasku. sesekali aku berhenti seketika. Gagal menyiapkan tugasan yang diberi. aku memicit-micit kepala.

"boleh tahan tak, Halim?" Irman menyoal. Bunyi prihatin di nada suaranya.
"Tak pe, teruskan kerja kau" aku menjawab pertanyaan yang terdiam seketika. Apalah sangat yang mampu dilakukan rafikku itu. sedangkan dia juga harus menyiapkan tugasan yang diberi. Kadangkala, terbit rasa cemburu di hati. Melihat gerak tangannya memainkan warna dan berus. Sangat teliti dan tiada cacat cela. Aku cuba membandingkan dengan lukisan ku yang separuh siap. Sangat comot. Ketika aku memegang berus sahaja, batukku berkumandang, mencacatkan sebahagian dari lukisanku, merencatkan kerjaku. Kegusaran menerpa ke muka. Bagaimana keputusan aku nanti, dengan hasil yang tidak kemas, warna yang tidak rata.

"sabarlah, Halim. Kau kan batuk. Kau dah buat yang terbaik. Biarlah bagaimana sekalipun hasil kau, kau kena teruskan. Presentation hari ni." Suara sahabatku itu hadir dengan membawa segenggam harapan. Walaupun kata-katanya tidaklah seberapa, tetapi dapatku rasakan secicip keikhlasannya di situ. Benar, aku mesti teruskan. Meskipun batukku bermula semenjak bulan enam lagi, sehingga kini tiada tanda-tanda akan sembuh. Biar berbotol-botol ubat aku makan, aku tetap yakin selagi Allah ingin aku merasakan kesakitan, aku harus menerima. dan tidak sepatutnya aku anggap ianya sebagai halangan.

Koff,koff,koff... air mata membening di kelopak. Tanganku terketar-ketar menggerakkan berus. 'apalah sangat kesakitan dan penderitaan aku jika ingin dibandingkan dengan penderitaan Nabi'. Monolog aku berunsurkan motivasi, motivasi untuk diri sendiri. Aku meletakkan sedikit warna hitam di atas lukisanku. Tugasan kali ini benar-benar menuntut kesabarn. Warna hitam dan putih serta kombinasi antara keduanya menghiasi lukisanku yang tidak seberapa. Dengan tema al-ilm' atau 'knowledge' warna-warna yang ku tancapkan di atas lukisan seharus kelihatan bezanya. Sambil tanganku sudahkan corak-corak terakhir, kotak mindaku berputar melayarkan bahtera keinsafan. Memang adakalanya orang melihat aku ketawa. dan adakalanya aku gembira. Juga kadangkala aku berduka. Tetapi manusia tidak tahu bahawa dunia ini bukanlah satu warna. Samada hitam ataupun putih, Justeru ketika aku ketawa, hati aku menahan derita kesakitan. Apabila aku mendiamkan diri, orang menganggap aku berduka. Tetapi aku memikirkan diri aku di hadapan Pencipta. Benarlah, sahabat. Duniaku yang kau rasakan satu warna, bukanlah satu warna. Moga Allah mengampunkan dosa ku atas kedangkalan dan kelemahan diri memikul bebanan-Nya.

"benarkah sudah merdeka?"


teringat kata-kata seorang teman ketika duduk bersembang di kafe. "benarkah kita sudah merdeka?" saat itu mata tertancap pada fragmen akhbar yang menyiarkan tentang kes rogol, bunuh, kebejatan masalah sosial, hiburan melampau, seks bebas dan lain-lain berita yang sudah 'biasa' menjadi sajian media. Secara tiba-tiba hati ini turut bersetuju dengan pandangan teman tadi. Kadang kala terdetik rasa kebimbangan bila laungan keramat oleh perdana menteri pertama kita dahulu kini bertukar jeritan muda-mudi yang bergaul bebas, nyanyian yang melalaikan dan suasana yang menjauhkan manusia dengan Tuhan.

(klik di sini)

renungan bersama


apalagi yang diperlukan bagi sebuah persahabatan ini, jika di dalamnya terisi jutaan rahmat Tuhan, bila menangis akan ada yang meredakan, bila gembira akan ada yang memberi peringatan, bila sakit, ada yang mendoakan, bila sihat akan ada yang meraikan. Alangkah manisnya persahabatan ini kerana seiring dengan perjuangan fisabilillah..



ukhuwah ada terikatnya hati dan akid
ah.
Ukhuwah saudaranya keimanan dan
pepecahan saudara kekufuran.
Cinta, lapang
dada dan itsar menjadi ciri ukhuwah

kenapa saya belajar???

Bulan Julai ini menyaksikan kemasukan pelajar-pelajar lepasan SPM dan Matrikulasi ke pusat-pusat pengajian tinggi. Dilaporkan bahawa hampir 30ribu pelajar lepasan SPM tidak mendapat mana-mana tempat di pusat pengajian tinggi. Namun begitu, dengan lambakan pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, penulis merasakan tiada masalah bagi mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Fenomena ini, hakikatnya mentamsilkan bahawa betapa persaingan dalam dunia pendidikan begitu kuat dan keupayaan untuk seseorang mengawal emosi juga bergantung pada kondisi mereka sendiri.

(klik di sini)

'saya lakukan ini kerana cintakan seni"


"saya lakukan ini kerana cintakan seni", kata-kata yang lahir dari mulut Syarifah Amani, artis dan pelakon yang semakin meningkat naik. Anak asuhan Yasmin Ahmad ini mengambil sikap berdiam diri dan yakin dengan tindakannya yang seolah-olah tidak mengambil kira isu sensitiviti agama. Sikap Yasmin Ahmad yang terlalu defensif jelas membawa satu fenomena bahawa industri perfileman negara kita bakal menjenguk gerbang perfileman barat yang tidak pernah mempunyai sensitiviti keagamaan, dan adab-adab masyarakat.

Dalam hal ini, pandangan dan kata-kata mufti dari perak dan selangor perlu kita utamakan. Apabila sudah menyerupai lelaki, menggondolkan kepala demi sebuah filem yang babaknya berdurasi tidak sampai setengah jam, layakkah pelakon tersebut digelar versatil dan lakukannya kerana cintakan seni? Apakah kita sudah buta dan tidak belajar dari sejarah? Pernah wujudkah mana-mana seniwati seperti Saloma, Roseyatimah, Dato' Sarimah dan lain-lain mendapat pengiktirafan dek kerana mengambil langkah berani seberani Syarifah Amani? Melakukan sesuatu perkara yang jelas bertentangan dengan Agama dan kemudian bertunjangkan alasan lakukan semata-mata kerana ingin mewujudkan lakonan yang 'hidup' layakkah diberi pengiktirafan?

Lantaran ini, media mempunyai pengaruh yang besar samada menyebelahi 'kebenaran' yang disandarkan pelakon dan pengarah ataupun kebenaran yang termaktub dalam alQuran. Mungkin boleh dikatakan masyarakat malaysia kini bukanlah masyarakat yang konservatif, kerana mereka mampu menilai baik dan buruk, tetapi berapa ramai di antara kita bersikap selektif? Sanggupkah kita berdiam diri dan menghalalkan yang haram demi sekeping tiket 'open minded'? fikir-fikirkanlah. Andai sesuatu perkara yang buruk menjadi ikutan, maka berdosalah orang yang pertama melakukan ditambah dengan dosa-dosa orang yang mengikut. Sabdaan Nabi. Wallahu a'lam

Pesta buku perlu dikaji balik...


Dalam kesibukan pengunjung pesta buku mencari-cari buku pilihan, Pusat dagangan Dunia Putra digamatkan lagi dengan suara-suara pengacara di atas pentas yang bersungguh-sungguh mengajak pengunjung naik ke atas . Adakah acara yang dijalankan dikira sebagai satu daya tarikan pengunjung ke pesta buku? Pengunjung diminta naik ke pentas lantas meniru aksi pelatih-pelatih (yang kesemuanya perempuan berpakaian hitam ketat, dan tidak bertudung litup) seperti menari dan membuat gerakan yang dirasakan agak memalukan (seperti berguling-guling). Akhir pengunjung yang berjaya melakonkan gerak aksi pelatih tadi diberikan hadiah. Mudah bukan? kata suara pengacara yang cukup membuatkan pengunjung lain berasa tidak selesa hakikatnya.

Apa relevannya acara sebegitu? Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan di sebalik suasana keintelektualan itu, pesta buku telah dicemari dengan aksi yang menjengkelkan. Tamsilan betapa tidak bermanfaatnya aksi tersebut buat tatapan anak-anak kecil pengunjung yang merasakan aksi tersebut sangat menarik. Pada pandangan penulis, pihak penganjur perlu kaji balik sebarang acara yang akan diadakan di pesta buku meskipun acara tersebut boleh dikatakan acara selingan. Semoga apa yang kita lihat dapat dipertimbangkan dan dikaji semula sejauh mana relevannya acara tersebut untuk menepati konsep pesta buku. Wallahu a'lam.

aku, pesta buku dan sesuatu

sudah lama tidak bertamu dalam ruangan maya ini. Selepas berjuang setengah mati dalam peperiksaan, kini ada juga ruang untuk aku bernafas, berkongsi ceritera dalam blog yang hampir dilupakan. Aku, pesta buku dan sesuatu. Selepas memendam hasrat untuk ke pesta buku, akhirnya dapat juga ku lunas dendam kesumat, walaupun hari tersebut merupakan hari terakhir pesta buku di Pusat Dagangan Dunia Putra, mana mungkin aku sia-siakan secicip masa yang ada.


Berbekal RM70 dalam saku, ku cuba untuk melawan gejolak nafsu melihat buku-buku ilmiah, dan hasil tangan penulis kegemaranku, faisal tehrani, HM Tuah, Ust Zaid Akhtar..melambai-lambai.. Benarlah, pesta buku mampu membuat orang 'gila' terutamanya si pencinta buku. Dan sememangnya aku dapat rasakan kegilaan itu, sehinggakan duit yang masih bersisa ku laburkan semuanya, demi sebuah buku. Dan sememangnya aku tewas dengan gejolak nafsu sendiri.


Si peniup Ney, Jangan Main-Main, Perjalanan ke Beirut dan lain-lain judul banyak memberi ilham pada ku untuk melebarkan lagi sayap penulisan. Meskipun aku bukanlah sehebat Habiburrahman, Usman Awang, A. Samad Said, Faisal Tehrani, Zaid AKhtar dan penulis tersohor lain, namun aku yakin, pengadaptasian semangat mereka akan ku leburkan menjadi darah daging ku. Buat semua pencinta buku, manfaatlah apa yang anda miliki dan buku salah satu cara kita memanfaatkan ilmu kepada orang lain.

kolaborasi Indonesia dan Israel??

Ada satu isu sejagat yang perlu umat Islam khususnya membincangkan. Dalam orang kita sibuk berkhilaf tentang perlunya atau tidak mengintip orang buat maksiat, jiran kita pula menjalinkan hubungan dengan musuh nombor satu negara Islam, israel. Pertemuan sulit di antara duta Israel Dan Gillerman dengan duta Indonesia Rezlan Ishar Jenie di Bilik Indonesia, New York perlu dipandang serius. Hal ini kerana, Indonesia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia dan berjiran dengan Malaysia serta banyak menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara kita. Apa yang bakal berlaku ke atas negara-negara Islam asia tenggara akan terkena tempiasnya pada kita.
Pertemuan itu merupakan pertemuan pertama dalam sejarah Indonesia yang tidak pernah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Bahkan, apa yang lebih mengecewakan lagi pertemuan secara sulit itu juga mengesahkan Indonesia sebagai salah satu ahli dalam persatuan yang dipegang oleh israel. Kita perlu merasa bimbang dengan perkara ini kerana, pertemuan tersebut secara tidak langsung membuka peluang yang besar Israel untuk mengawal negara-negara asia tenggara khususnya negara Islam. Adakah kita ingin lihat penderitaan yang berlaku di Lebanon, Palestin, Afghanistan, Iran, Chechnya, Iraq dan lain-lain berlaku di negara kita. Sediakah kita mengalirkan air mata darah sebagimana yang ditumpahkan oleh anak-anak Palestin. Kita tidak mempunyai ruhul Islam sekuat mereka.
Bertitik tolak dari perkara tersebut, kita perlu sentiasa bersedia dalam semua aspek. Penindasan ke atas umat Islam semakin menjadi-jadi. Dan yang lebih parah lagi, negara Islam sendiri tiada kesatuan dan bersikap seperti lembu dicucuk hidung. Sepertimana yang telah dilakukan oleh duta dari Qatar, Nassir Abdoulaziz Al-naseer yang bersetuju PBB mengadakan sekatan ke atas Republik Islam Iran. Sudah tentu lebih mendukacitakan apabila Indonesia menjadi negara kedua yang turut mengundi mengadakan sekatan ke atas Iran. Betapa mudah negara Islam dibeli, sedangkan Iran merupakan negara Islam yang berfikiran tegas dan bersuara lantang dalam memperjuangkan suara Islam. Iran juga merupakan negara Islam yang marjoriti penduduknya adalah saudara seakidah kita.
Tuntasnya di sini, negara Islam diancam kuasa besar dan didalangi oleh Islam itu sendiri. Apabila dicabut Allah nikmat iman dan Islam, daging saudara sendiri juga sanggup diberi untuk diratah. Demi harga sebuah jaminan keselamatan, propaganda sesat menjadi tiket dan ukuran.

berbakti pada tanah

25.03.2007
Ahad, Batang Berjuntai,
Rawang, selangor
Mentari memancarkan sinarnya. Terbit garang dari celahan lelangit. Peluhku merenik. Mataku melirik jam di tangan. Lagi beberapa minit jam dua belas menjengah. Kepanasan yang luar biasa seakan mematahkan niatku untuk terus bekerja. Namun, ku gagahi jua. Terpana mata ini menangkap kegigihan ibu yang menghampiri usia 60 tahun dalam keadaan yang begitu hiba. Genggaman cangkul di tangan dipegang erat bagaikan ianya akan lari. Kata-katanya menerjah ke kotak fikiran ku. "Acu, hidup bila dah usia macam ibu ni, selain berbakti pada Allah, pada tanah le kita kena berbakti. Kat situ jugak kita akhirnya".
Pukk! Lamunanku serta merta hilang diterbang angin petang. Seraya mendengar bunyi tersebut, aku berjalan ke arah ibu. Ku lihat muka ibu pucat. Mungkin terlalu gigih bekerja. Kalau diikutkan, bukanlah aku bersungguh sangat mahu berkebun hari ini. Tapi, pandangan mata ibu yang menyeret seribu pengharapan menyerbu menggigit-gigit perasaanku. Ku minta ibu berehat di pondok. Sambil itu, ku sudahkan sisa-sisa kerjanya yang masih berbaki. Aku bulatkan dalam atmaku, kerja yang ku lakukan ini adalah mencari keredhaan Allah. Biar hati ku dipaut ketenangan. Biar kepanasan menampar muka ini.. aku bantu ibu, kerana Allah. Kemudian aku nyalakan mancis. Ibu telah memintaku membakar dedaun kering yang dikumpulnya tadi. Aku duduk termenung sambil mengais-ngais ranting dan dedaunan kering. Kayu-kayu kecil ku campakkan ke dalam lautan api kecil.
Bahang api menari-nari, menghembuskan kepanasannya seolah-olah aku berada di tempat pemanggangan. Pada mulanya, aku cuba menjauhkan diri. Tetapi aku memilih untuk berada berdekatan dengan api tersebut. Peluh-peluh merembes berebut-rebut keluar dari rongga tubuhku. Alangkan api di dunia sebegini kecil tidak mampu ku tahan, bagaimana dengan api neraka? Serta-merta aku dipupuk keinsafan dan rasa takut. Ranting-ranting kayu dibakar sehingga menjadi abu dalam masa yang singkat. Tetapi, bagaimana pula api neraka menghangus dan menjadikan manusia sebagai bahan bakarnya? Ya Allah, di manakah tempat aku di akhirat kelak? Benarlah, dengan berbakti pada tanah membuatkan kita lebih mudah mengingati mati. Alam ciptaan Allah sentiasa mendidik jiwa mendekati-Nya.

Tingkatkan integriti, hapuskan rasuah


Dunia kini mengalami anjakan paradigma yang begitu drastik. Sejajar dengan perkembangan teknologi, sepatutnya masalah kurangnya integriti dalam kalangan masyarakat, pemimpin dan rakyat malaysia turut mengalami anjakan ke arah yang lebih baik, namun masalah-masalah berkenaan rasuah masih diperkatakan seperti tiada kesudahan. Bahkan jika dilihat statistik yang dikeluarkan setiap tahun, belakunya peningkatan dalam tangkapan pesalah-pesalah rasuah. Misalnya, bermula pada tahun 2003, sebanyak 339 kes telah dibangkitkan dan bertambah sehingga 546 kes pada tahun 2006.


Sememangnya masalah rasuah ini merupakan masalah sejagat yang turut melanda hampir di semua negara. Justeru itu, beberapa punca dikenal pasti sebagai faktor penyumbang kepada gejala rasuah. Pertamanya, kurangnya integriti. Kebanyakan kes-kes rasuah ini melibatkan individu dan jarang sekali berlaku dalam kumpulan yang ramai. Keadaan ini juga disebabkan kurangnya sikap amanah yang perlu diasimilasikan dalam diri. Lantaran itu, tidak hairanlah gejala-gejala rasuah berlaku dalam kalangan orang yang berpangkat tinggi. Tambahan pula rasuah melibatkan penggunaan jumlah duit yang besar yang disalurkan secara salah sebagai satu cara untuk menutup kesalahan, mendapatkan projek dan sebagainya.


Selain itu, tiadanya prinsip yang tegas antara faktor berlakunya gejala rasuah. Manusia sanggup mengenepikan prinsip-prinsip diri apabila dikelabui dengan jumlah wang yang besar. Biarpun pelbagai modus operandi dijalankan seperti ceramah, kempen, kursus dan sebagainya, gejala ini tetap tiada kesudahan. Serta yang paling penting sudah tentunya tiada penghayatan agama dalam diri individu itu sendiri. Menyorot lipatan sirah para sahabat, bagaimana Umar bin Abdul Aziz bin Umar Alkhattab, mengasimilasikan nilai-nilai Islam dalam penyelenggaraan kewangan tanpa sedikit pun dicemari dengan unsur riba', rasuah dan sebagainya. Tidak hairanlah, mengapa tiada orang yang layak menerima zakat pada zaman dahulu kerana semuanya hidup mewah.


Bertitik tolak dari perkara tersebut, perlunya kesedaran untuk meningkatkan integriti dalam diri kita sendiri sebagai satu titik permulaan pembasmian gejala rasuah. Meskipun kita tidak tahu sejauh mana yang mampu kita lakukan, namun penulis percaya seandainya setiap daripada kita menyemai sikap integriti, menghayati agama Islam, nescaya gejala rasuah tidak akan bertambah. Mahukah kita negara Malaysia disenaraikan antara negara yang mempunyai kadar rasuah yang tinggi? Hanya andalah penentu jawapannya.

tazkir


Bersyukur ditimpa musibah, bersabar dengan anugerah
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Yang Memiliki hati-hati ini, di bawah naungan-Nya tempat berpaut pengharapan. Salawat dan salam atas Rasul junjungan dan para sahabat, tabi' tabi'ien. Manusia yang dijadikan Allah dari setitis air mani, sememangnya kerdil dan lemah sebagaimana secara fitrah, kita memerlukan tempat untuk disandarkan kasih dan pengharapan. Allah telah menjanjikan, segala beban yang ditimpa kepada manusia sesuai dengan upaya dan kesanggupan. Allah telah memberikan peringatan kepada manusia secara hakiki mahupun majazi. Secara jelas atau tersembunyi, secara tersurat ataupun tersirat.

Namun kerana kealpaan manusia berdasarkan perkataan 'nasia' yang bermaksud lupa, mudah sahaja nikmat yang dianugerah Allah kita lenyapkan dek kerana tidak mampu menanggung beban dan ujian dari-Nya.
Andai kita diberi pilihan, sudah tentu kita inginkan yang terbaik. Tetapi kita hanya memanjatkan rasa syukur apabila diberi kehidupan yang baik, dan sabar diluahkan apabila ditimpanya ujian.
Dalam menelusuri stanza dunia penuh penipuan, kita sering dikaburi dengan fatamorgana yang bersifat sementara. Lantaran itu kita seakan sudah diasuh dengan frasa syukur apabila menghadapi kemudahan, dan harus bersabar apabila dalam kesusahan. Hakikatnya, kedua-dua elemen ini tidak boleh dipisahkan. Allah telah berfirman yang mafhumnya, "barangsiapa berjihad ke jalan ku, nescaya Aku berikan hidayah."Sudah tentu jalan jihad tidak mudah yang disangka. Justeru, dalam menghadapi musibah dan duri perjuangan perlunya kita titipkan rasa bersyukur kerana apa yang kita hadapi tidak lebih dari yang dihadapi oleh nabi Allah dahulu. Serta suburkan rasa sabar tatkala kita mendapat kebaikan kerana bimbang kebaikan yang kita perolehi membuatkan kita istidraj, ya'ni nikmat yang melalaikan dari mengingati Allah.

Memetik kata-kata Maryam Jameelah, dahulunya Margaret Marcus, wanita yahudi," Menurut ajaran Islam, hidup ini bukanlah satu perjalanan yang penuh dengan kesenangan, akan tetapi ia adalah satu ujian. Setiap minit kita akan diuji. Allah tidak menjadikan kita untuk bergembira dan bersuka ria, tetapi untuk melihat samada kita berjaya atau gagal dalam ujian yang keputusannya tidak akan diketahui hinggalah hari akhirat"

santapan rohani



keajaiban alQuran...




Wahyu yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw membuktikan bahawa perlunya manusia dan ummat akhir zaman kepada sebuah panduan. Alangkan kita hidup di sesebuah negara juga terikat dengan perlembagaan dan perundangan yang termaktub, maka samalah halnya dengan alQuran, bahkan lebih lagi kerana alQuran jua menjadi wasilah penghubung cinta kita terhadap Allah. Tidak pernah berubah hatta satu huruf atau titik sekali pun dan akan terus dipelihara Allah sehingga hari kiamat. Itulah sebahagian dari keajaiban alQuran. Membacanya tidak pernah mengundang bosan sebagaimana kita membaca buku-buku lain.


Kebesarannya dikagumi, ditakjubi, bahasanya mudah tetapi indah. Susunan ayatnya bukan syair, bukan sajak dan bukan jua gurindam. Kalam Allah terus dimuliakan biar berbagai cubaan untuk memusnahkan atau menyalin semula, namun melakar kegagalan. Bukan juga novel dan cerpen. Ada cerita membawa berita, bukan falsafah ada falsafah, ada hukum, ada panduan, ada perintah, ada tegahan, ada hiburan penenang atma, ada peringatan, dalam cerita tersisip hukum, dalam hukum ada cerita, ada perbandingan dan ada perumpamaan.


Di dalamnya menyingkap segala tirai rahsia, akhiratnya, dunianya, jasmani, rohani, mukmin, kafir, munafik, watak-watak manusia, malaikat dan jin ternukil di dalamnya. Peristiwa yang telah berlaku dan akan berlaku, ramalannya terjadi, janjinya dipatri, ilmu di dalam ilmu, Hikmah di dalam hikmah. Bahasanya mudah tetapi sukar ditiru. Menatapinya menguatkan iman, mengubat hati menajam mental. Petunjuknya bawa kedamaian, perlindungan, keharmonian..menongkah arus dunia tanpa terubah rasa zouqnya.


Mengamalkannya melahirkan tamadun dan kebudayaan, menghayatinya mengundang kecintaan Tuhan. Bahasanya, susunannya, isinya dikagumi oleh pakar bahasa, ditakjubi oleh para sasterawan, dianggap ajaib oleh filosot. Menceduk mutiaranya tidak habis-habis, tidak dapat diubah dan ditambah. Telah terbukti dicuba musuh, Dikesan jua akhirnya. Itulah pusaka abadi MUKJIZAT Nabi Muhammad saw, saiyidul anbiya' wal mursalin wa khatimun Nabiyyin..dan itulah keajaiban alQuran yang terungkai akhirnya.

KADANG-KADANG perjuangan adalah sesuatu yang kita perlukan dalam hidup ini. Jika Tuhan membiarkan kita hidup tanpa sebarang dugaan dan rintangan, itu mungkin akan melumpuhkan kita. Kita mungkin tidak akan jadi kuat, tabah, dan yakin menempuh segala rintangan untuk meneruskan kehidupan. Fikir dan renungkan.
"saya mohon KEKUATAN...dan Allah memberi saya KESULITAN..kesulitan untuk membuat saya kuat,"
"saya memohon KEBIJAKSANAAN...dan Allah memberi saya PERSOALAN..untuk diselesaikan,"
"saya memohon KEMAKMURAN..dan Allah memberi saya OTAK dan TENAGA untuk bekerja..,"
"saya memohon KETEGUHAN HATI...dan Allah memberi saya BAHAYA untuk diatasi.."
"saya memohon CINTA..dan Allah memberi saya ORANG-ORANG BERMASALAH untuk ditolong.."
"saya memohon kemurahan dan kebaikan hati...
Allah memberi saya kesempatan.."
Saya tidak memperoleh apa yang saya INGINKAN...
tetapi saya mendapat apa yang saya PERLUKAN

kelas manusia



kelas manusia tertinggi yang dilahirkan dengan kecerdasan alami..
kelas di bawahnya yang mendapatkan ilmu dengan belajar
kelas berikutnya yang bekerja keras mendapatkan ilmu..
akhirnya..kelas terendah adalah orang yang jahil, yang tidak berusaha mendapatkan ilmu

sayembara puisi

Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim… Allah Rabbi
aku minta izin Bila suatu saat aku jatuh cinta
Jangan biarkan cintaku untuk-Mu berkurang
Hingga membuatkanku lalai akan adanya Engkau
Allahu Rabbi aku punya pinta
Bila suatu saat aku jatuh cinta Penuhilah hatiku

dengan bilangan cinta-Mu yang tidak terbatas
Biar rasaku pada-Mu tetap utuh
Allah Rabbi Izinkan bila suatu saat aku jatuh hati
Pertemukanlah kami Berikanlah kami kesempatan u
ntuk lebih mendekati cinta-Mu
Allah Rabbi Pintaku yang terakhir adalah seandainya aku jatuh hati
Jangan pernah kau palingkan wajah-Mu dariku
Anugerahkanlah aku cinta-Mu Cinta yang tak pernah pupus oleh waktu.


nukilan pena
Abdul Ghani, penyair sufi

MUKHSIN


Bicara tentang mukhsin, sebuah filem arahan Yasmin Ahmad cukup membuatkan sesiapa sahaja tertarik dengan promosi dan iklan-iklan yang tidak henti-henti. Namun terdetik di hati penulis, selepas Gubra, Sepet dan kini Mukhsin, hakikatnya mempunyai signifikan yang perlu kita ambil tahu. Dalam ruangan akhbar mingguan, ada memberi peluang Yasmin menyuarakan pendapatnya yang tidak setuju jika dikatakan filemnya menggalakkan percintaan zaman kanak-kanak yang bagi pendapat penulis meniti usia di awal remaja. Bahkan Yasmin turut menekankan tentang realiti masyarakat kampung yang ingin dibawanya. Iaitu kisah realiti cinta pertama zaman kanak-kanak bertepatan dengan tema 'everyone has a firstlove story to tell'

Pada pendapat penulis, mudah betul sebuah filem dikaburi mesejnya hanya dengan tema di awal filem. Adakah cukup dengan gambaran suasana kampung, berbasikal, berkain sarung dan berbaju kurung boleh dikatakan ini adalah filem realiti masyarakat timur? Benarkah masyarakat kampung atau timur membenarkan anak gadis dan anak lelaki mereka keluar berdua-duaan?

Jika ditanya warga emas kini, masyarakat timur amatlah menekankan tentang pergaulan anak gadis dan anak lelaki mereka. Lantaran itu, alasan yang mengatakan filem ini menyingkap realiti masyarakat timur adalah tidak benar sama sekali. Ditambah pula dengan fragmen-fragmen dalam akhbar dan majalah, boleh jadi sebuah filem ini mampu membentuk wahana kebobrokan akhlak remaja.

Apalah ertinya berpuluh-puluh anugerah yang dimiliki, andainya sebuah filem menjadi satu method kepada masyarakat terutamanya yang berfikiran jumud dan konservatif agar mengadaptasikan kisah tersebut ke dalam realiti. Jangan terkejut sekiranya kanak-kanak kampung atau pedalaman juga sudah pandai menyalakan api cinta dalam diri mereka.

Tuntasnya, penulis merasakan, perlunya ketahanan diri dalam individu dan kepekaan terhadap hendonisme-hendonisme yang wujud sebagai satu benteng dari terhakisnya iman dan akidah.

Usia saiyidatina khadijah saat perkahwinan dengan baginda


jika sekadar melihat tajuk sahaja, penulis pasti, ramai sidang pembaca sekalian mempersoalkan mengapa perlu dibangkitkan isu yang sememangnya kita maklum sejak dahulu. Andai ditanya kepada kanak-kanak sekalipun, sudah tentu mereka akan menjawab usia khadijah ialah 40 tahun, dan usia inilah yang kita difahamkan selama ini. Namun begitu, penulis tertarik untuk mempersoalkan kembali, apakah benar usia khadijah ketika berkahwin dengan Rasulullah saw ialah 40 tahun? Berapa tahun pula usia khadijah ketika wafat? Marilah sama-sama kita melapangkan dada, andai benar fakta yang penulis temui ini, maka tersingkaplah kelemahan kita betapa perlunya kita mendalami sirah Rasulullah.


Khadijah r.a. berumur 40 tahun ketika beliau berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ia adalah suatu riwayat yang yang tidak berasas tetapi telah disebarkan sebegitu rupa dan digarap seolah-olah sebahagian daripada Agama. Ini adalah percubaan untuk membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. telah melalui zaman mudanya bersama-sama dengan seorang wanita tua. Dalam usia lanjut, beliau r.a telah melahirkan empat orang anak perempuan iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah r.a.; dan tiga orang anak lelaki yang dinamakan Qasim, Tayyab and Tahir. Menurut sesetengahnya pula, beliau r.a. telah melahirkan empat orang anak lelaki; ada seorang yang bernama Abdullah, sedangkan setengah yang lainnya pula menyatakan bahawa yang sebenarnya Abdullah telah dipanggil sebagai Tayyab dan Tahir.

Saidatina Khadijah r.a. telah berkahwin sebanyak dua kali sebelum berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Abu Halah Hind bin Banash bin Zararah. Daripadanya, beliau telah mendapat seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Nama anak lelakinya ialah Hind dan anak perempuannya bernama Halah. Setelah kematian Abu Halah, Khadijah r.a. berkahwin dengan Atiq bin ‘Aid Makhzumi. Daripadanya dia mendapat seorang anak perempuan yang juga bernama Hind. Inilah sebabnya mengapa Saidatina Khadijah r.a. mendapat kunniyah sebagai Ummu Hind. Anak lelaki Saidatina Khadijah, Hind, telah memeluk Islam. (Seerat-un-Nabi , Jilid II, m/s 402).


Di sini, timbul satu persoalan, iaitu Saidatina Khadijah r.a. telah melahirkan empat orang anak sahaja di usia mudanya, namun semasa usia tuanya beliau telah melahirkan tujuh atau lapan orang anak, yang agak bertentangan dengan logik akal. Sebabnya, menurut Sains Perubatan, seorang wanita menjadi tidak subur untuk melahirkan anak, biasanya apabila melewati usia 45 tahun. Bagaimana pula boleh dipercayai bahawa lapan orang anak telah dilahirkan setelah melepasi usia 40 tahun? Pihak Orientalis dan musuh-musuh Islam telah memberi perhatian khusus terhadap riwayat ini, kerana peristiwa ini jelas bertentangan dengan akal. Dengan mendedahkan peristiwa seperti ini, mereka mengambil kesempatan untuk mencemuh Islam.


Namun begitu, ulama kita sebaliknya menganggap kejadian ini sebagai ‘satu mukjizat’ Rasulullah s.a.w. Tambahan lagi mereka menganggap inilah keistimewaan nabi s.a.w. kerana sanggup mengahwini wanita yang tua sedangkan baginda s.a.w. sendiri muda belia.
Di pihak yang lain golongan Syiah mendakwa adalah tidak mungkin melahirkan sebegitu ramai anak di usia tua. Oleh itu, Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kalthum tidak diiktiraf sebagai anak nabi s.a.w. Golongan Syiah mengatakan bahawa umur Khadijah r.a. ialah 40 tahun semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Meskipun mereka amat mahir bermain dengan angka, mereka telah melakukan kesilapan bodoh bila mendakwa bahawa Fatimah r.a. dilahirkan lima tahun selepas kenabian. Dalam hal ini, Khadijah sudah berumur 60 tahun semasa melahirkan Fatimah r.a.. Dengan ini tidak mungkin Ruqayyah dan Kalthum adalah anak kepada Khadijah kerana mereka adalah lebih muda dari Fatimah. Kita akan membuktikan bahawa empat orang anak perempuan ini adalah dilahirkan oleh Saidatina Khadijah r.a. dari Rasulullah s.a.w. Tetapi sebelum itu orang Syiah perlu membuktikan bahawa seorang wanita yang berusia 60 tahun boleh melahirkan anak. Dan apabila mereka membuktikannya, mereka mesti juga membuktikan bahawa Fatimah r.a. adalah anak kepada Khadijah r.a.


Sebenarnya terdapat perbezaan pendapat tentang usia sebenar Khadijah r.a bila berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ada yang berkata umurnya 40 tahun . Ada yang berpendapat usianya 35 tahun. Yang lain pula mengatakan 30 tahun , dan sesetengah pula mengatakan 27 tahun, manakala ada pula yang menyatakan bahawa usianya 25 tahun. Ahli-ahli sejarah Syiah sependapat mengatakan umurnya 40 tahun, dan mereka menolak pendapat lain. Dan mereka riuh rendah menyebarkan pendapat ‘40 tahun’ ini seolah-olah pandangan lain tidak pernah wujud. Ulama kita dan ahli-ahli sejarah yang terkemudian juga terpengaruh dengan daayah ini dan menyangkakan bahawa pendapat golongan Syiah inilah yang ‘tepat’.
Hafiz Ibn Kathir menulis:

“Baihaqi telah memetik daripada Hakim iaitu apabila Rasulullah mengahwini Khadijah r.a., baginda s.a.w. adalah berumur dua puluh lima tahun dan Saidatina Khadijah r.a. berumur tiga puluh lima tahun, dan ada pendapat lain mengatakan usianya dua puluh lima tahun.” (al-Bidayah, Jilid II, m/s 295)
Dengan lain perkataan, Baihaqi dan Hakim menyatakan bahawa Saidatina Khadijah r.a. berusia tiga puluh lima tahun pada waktu itu. Bersama-sama dengan itu, mereka juga turut mengatakan bahawa ada pendapat bahawa beliau r.a. berusia dua puluh lima tahun.
Di tempat lain, Hafiz Ibn Kathir mengatakan usia Saidatina Khadijah r.a. pada masa kewafatannya, sebagaimana berikut: “Usia Saidatina Khadijah mencapai 65 tahun. Satu pendapat mengatakan beliau meninggal pada usia 50 tahun. Dan pendapat ini (iaitu 50 tahun) adalah yang benar.” (al-Bidayah wan Nihayah, Jilid II, m/s 294)
Ulama Hadis dan ahli sejarah bersetuju bahawa Saidatina Khadijah r.a. menjalani hidup sebagai isteri Rasulullah s.a.w. selama 25 tahun dan beliau r.a. meninggal dunia pada tahun ke-10 Kerasulan. Hafiz Ibn Kathir berkata; ‘pendapat yang benar adalah usianya mencecah 50 tahun telah membuktikan bahawa usia Saidatina Khadijah pada masa perkahwinannya ialah 25 tahun. Dan juga, Hafiz Ibn Kathir juga telah membuktikan bahawa ‘maklumat’ yang diterima pada hari ini (iaitu umur Khadijah r.a. 40 semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. ) adalah salah dan tidak benar sama sekali..
Meskipun dengan fakta yang sebegini jelas, kita masih mempercayai (dan terperangkap) dalam berita yang lebih merupakan khabar angin semata-mata.


untuk kepastian, sidang pembaca boleh melayari laman web://www.darulkautsar.com/pemurniansejarah/teks/umreaisyah

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template