Di zaman fitnah berleluasa, ilmu menjadi perkara paling penting agar setiap tindakan yang diambil selaras menjunjung syariat. Seringkali kita dengar, el-aa’lim kheir min el-aa’bid. Orang yang berilmu lebih baik dari ahli ibadat. Tidak perlu mengulas tentang kalam ini, lebih molek untuk kita memahami aliran-aliran yang wujud mutakhir ini, paling tidak pun, kita mengetahui kewujudan aliran yang pernah diungkap oleh baginda Rasulullah.
Dari kitab el-Milal wa en-Nihal Juz1 halaman 13.
“Rasulullah s.a.w telah menyampaikan berita bahawa akan berpecah umatku menjadi 73, yang selamat hanyalah satu golongan sahaja dan yang lainnya akan hancur. Ditanya siapakah golongan yang selamat itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, “ahlussunnah wal Jamaah.” Baginda ditanya lagi apakah yang dimaksudkan dari Ahlussunnah walJamaah? Baginda menjawab: “golongan yang mengikuti sunnahku dan sunnah sahabatmu.”
· Kaum syiah: kaum yang berlebih-lebihan memuji Saidina Ali karamallahu wajhah. Mereka tidak mengaku Khalifah Abu Bakar, Umar dan Usman. Kaum syiah kemudiah berpecah kepada 22 aliran.
· Kaum khawarij: kaum yang berlebih-lebihan membenci Saidina Ali. Bahkan ada di antara mereka yang mengkafirkan Saidina Ali. Firqah ini berfatwa bahawa orang yang berdosa besar adalah kafir.
· Kaum mu’tazilah: kaum yang berfahaman bahawa Allah tidak mempunyai sifat. Manusia membuat pekerjaannya dengan sendiri. Mereka berpendapat orang yang berdosa besar diletakkan di antara dua tempat, dan mi’raj Rasulullah hanya dengan ruh sahaja.
· Kaum murji’ah: kaum yang berfatwa bahawa membuat maksiat (kejahatan) tidak memberi mudharat sekiranya sudah beriman, membuat kebajikan tidak memberi manfaat sekiranya kafir.
· Kaum najariyah: kaum yang berfatwa bahawa perbuatan manusia adalah makhluk, yakni dijadikan Tuhan. Tetapi mereka berpendapat sifat Tuhan tidak wujud. Kaum ini berpecah kepada 3 aliran
· Kaum jabariyah: kaum yang mengatakan bahawa manusia itu ‘majbur’ iaitu tidak berdaya upaya. Usaha tidak pernah wujud sama sekali. Kaum ini hanya ada satu aliran.
· Kaum musyabbihah: kaum yang berfatwa bahawa ada keserupaan antara Tuhan dengan manusia, umpamanya mempunyai tangan, kaki, duduk di kerusi dan lain-lain. Juga satu aliran.
1. kaum syiah 22 aliran
2. kaum khawarij 20 aliran
3. kaum mu’tazilah 20 aliran
4. kaum murjiah 5 aliran
5. kaum najariah 3 aliran
6. kaum jabariyah 1 aliran
7. kaum musyabbihah 1 aliran
JUMLAH: 72 aliran
Jelaslah, jika ditambah dengan 1 lagi aliran iaitu ahlussunnah wal jamaah, cukuplah menjadi 73 firqah seperti yang diungkap oleh baginda Muhammad s.a.w
0 comments:
Post a Comment