ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

salam pertemuan, salam perjuangan..
jadikan ruangan maya ini medium cetusan budaya, lapangan letusan maklumat, wahana penyebaran ilmu, pelestari generasi berilmu dan wadah penjana minda...

layarkan sebarang perkongsian informasi dan maklumat kepada archimyxtream@yahoo.com..
mudah-mudahan lapangan penulisan bukan sekadar picisan, namun sebagai rantaian-rantaian menuju Cinta Tuhan

Tingkatkan integriti, hapuskan rasuah


Dunia kini mengalami anjakan paradigma yang begitu drastik. Sejajar dengan perkembangan teknologi, sepatutnya masalah kurangnya integriti dalam kalangan masyarakat, pemimpin dan rakyat malaysia turut mengalami anjakan ke arah yang lebih baik, namun masalah-masalah berkenaan rasuah masih diperkatakan seperti tiada kesudahan. Bahkan jika dilihat statistik yang dikeluarkan setiap tahun, belakunya peningkatan dalam tangkapan pesalah-pesalah rasuah. Misalnya, bermula pada tahun 2003, sebanyak 339 kes telah dibangkitkan dan bertambah sehingga 546 kes pada tahun 2006.


Sememangnya masalah rasuah ini merupakan masalah sejagat yang turut melanda hampir di semua negara. Justeru itu, beberapa punca dikenal pasti sebagai faktor penyumbang kepada gejala rasuah. Pertamanya, kurangnya integriti. Kebanyakan kes-kes rasuah ini melibatkan individu dan jarang sekali berlaku dalam kumpulan yang ramai. Keadaan ini juga disebabkan kurangnya sikap amanah yang perlu diasimilasikan dalam diri. Lantaran itu, tidak hairanlah gejala-gejala rasuah berlaku dalam kalangan orang yang berpangkat tinggi. Tambahan pula rasuah melibatkan penggunaan jumlah duit yang besar yang disalurkan secara salah sebagai satu cara untuk menutup kesalahan, mendapatkan projek dan sebagainya.


Selain itu, tiadanya prinsip yang tegas antara faktor berlakunya gejala rasuah. Manusia sanggup mengenepikan prinsip-prinsip diri apabila dikelabui dengan jumlah wang yang besar. Biarpun pelbagai modus operandi dijalankan seperti ceramah, kempen, kursus dan sebagainya, gejala ini tetap tiada kesudahan. Serta yang paling penting sudah tentunya tiada penghayatan agama dalam diri individu itu sendiri. Menyorot lipatan sirah para sahabat, bagaimana Umar bin Abdul Aziz bin Umar Alkhattab, mengasimilasikan nilai-nilai Islam dalam penyelenggaraan kewangan tanpa sedikit pun dicemari dengan unsur riba', rasuah dan sebagainya. Tidak hairanlah, mengapa tiada orang yang layak menerima zakat pada zaman dahulu kerana semuanya hidup mewah.


Bertitik tolak dari perkara tersebut, perlunya kesedaran untuk meningkatkan integriti dalam diri kita sendiri sebagai satu titik permulaan pembasmian gejala rasuah. Meskipun kita tidak tahu sejauh mana yang mampu kita lakukan, namun penulis percaya seandainya setiap daripada kita menyemai sikap integriti, menghayati agama Islam, nescaya gejala rasuah tidak akan bertambah. Mahukah kita negara Malaysia disenaraikan antara negara yang mempunyai kadar rasuah yang tinggi? Hanya andalah penentu jawapannya.

0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template