ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

salam pertemuan, salam perjuangan..
jadikan ruangan maya ini medium cetusan budaya, lapangan letusan maklumat, wahana penyebaran ilmu, pelestari generasi berilmu dan wadah penjana minda...

layarkan sebarang perkongsian informasi dan maklumat kepada archimyxtream@yahoo.com..
mudah-mudahan lapangan penulisan bukan sekadar picisan, namun sebagai rantaian-rantaian menuju Cinta Tuhan

bahasa kebangsaan

Dalam menelusuri arus globalisasi, Malaysia kini gah mengaplikasikan sains dan teknologi dalam sistem kehidupan masyarakat Malaysia. Bagaimanapun, tunjang bagi sesebuah negara samada negara maju atau sedang membangun sudah tentu adalah penggunaan bahasa kebangsaan sebagai identiti dan lambang sesebuah masyarakat. Sejauh mana pencapaian dan kejayaan yang dikecapi Malaysia mutakhir ini, Bahasa Kebangsaan masih lagi menjadi mercu tanda kegemilangan Malaysia. Dalam hal ini, dasar Bahasa Kebangsaan telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi sebagai salah satu asas kenegaraan.

Menyorot kembali sejarah pada tarikh 1 september 1967, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara. Baginda turut bertitah pendaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi yang tunggal merupakan satu permulaan bagi zaman baru dalam sejarah kemerdekaan negara ini. Oleh sebab itu, pemilihan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipertikaikan kerana kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah terkandung dalam Perlembagaan 152. Dengan ini jelaslah bahawa penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah diimplementasikan sejak 1967 sehingga kini.

Namun begitu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak hanya bermanfaat kepada bangsa Melayu sahaja. Penggunaan bahasa ini dilihat sangat berkait erat dengan pembentukan jati diri dan citra negara juga sebagai lambang kewujudan dan kedaulatan negara. Bahasa yang digunakan oleh semua kaum di Malaysia terutama dalam hal-hal yang melibatkan acara rasmi secara tidak langsung mengikat perpaduan antara semua bangsa yang majmuk di Malaysia. Bahkan peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sangat penting dalam menggerakkan jentera pentadbiran Negara memandangkan Bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi bagi segala urusan rasmi Negara.

Selain itu, kepentingan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan turut diadaptasikan dalam sistem pendidikan Negara kita. Keseragaman dalam pembelajaran dan silibus yang ditetapkan diikat dengan penggunaan bahasa kebangsaan agar penyampaian menjadi lebih mudah dan bersifat menyeluruh terhadap semua kaum. Tambahan pula, Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan terkandung dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah atau di institusi-institusi pengajian.

Melihat kepada peranan yang dimainkan oleh Bahasa Kebangsaan, adalah menjadi tanggungjawab warga Malaysia mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan meskipun Malaysia semakin menghampiri gerbang kemajuan wawasan 2020. Untuk itu, pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak terhakis dalam kalangan masyarakat. Antara usaha yang giat dijalankan adalah dengan memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu melalui pelbagai aktiviti seperti minggu dan bulan bahasa, perjuangan politik bahasa, kempen bahasa dan melengkapkan buku-buku ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Kesedaran semua pihak juga sangat diperlukan agar usaha memastikan Bahasa Melayu kekal sebagai Bahasa Kebangsaan tidak hanya seperti ‘melepaskan batuk di tangga’.

Sememangnya menjadi lumrah usaha-usaha untuk mendaulatkan Bahasa Melayu menghadapi pelbagai masalah yang berkaitan dengan politik bahasa, sikap pengguna dan penerimaan rakyat itu sendiri. Walaupun begitu, usaha secara konsisten oleh semua pihak dan ketegasan jentera kerajaan mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan menjamin kedaulatan Negara dan secara tidak langsung memberi nilai harga yang tinggi pada Bahasa Melayu itu sendiri. kondisi dan peranan yang dimainkan pihak berwajib sangat penting untuk memastikan Bahasa Melayu tidak akan ‘melukut di tepi gantang’.

0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template